Sunday 29 July 2012

Ciri-Ciri Tamadun Mesir Purba

Apabila Firaun Menes ( 3200 S.M. )berjaya menyatukan kesemua nome ini menjadi sebuah kerajaan, beliau telah mengasaskan pusat pentadbirannya di bandar Thinis yang terletak di bahagian tengah Sungai Nil.Selepas itu,pusat pentadbiran telah berpindah ke bandar Memphis yang hampir dengan delta Sungai Nil.Pada kemuncak Zaman Pertengahan, pusat pentadbiran ini telah berpindah ke bandar Thebes.Selain itu,terdapat beberapa bandar penting yang lain seperti Heliopolis,Fayoum dan Abydos.Kehidupan di bandar merupakan salah satu ciri yang sangat penting dalam tamadun Mesir kerana di sinilah tempat kediaman firaun,pusat pemerintahan dan pentadbiran,dan juga pelabuhan penting bagi tamadun ini.Selain itu,bandar juga merupakan pusat keagamaan dan pusat tumpuan penduduk.
     Kehidupan berorganisasi dalam masyarakat Mesir Purba diketuai oleh firaun yang merupakan raja yang berkuasa mutlak serta dianggap suci.Jawatan firaun (raja Mesir) diwarisi secara turun-temurun.Pada zaman kerajaan lama, firaun dianggap sebagai jelmaan Tuhan Horus.Tetapi semasa pemerintahan dinasti ketiga dan keempat,firaun digelar sebagai Raja Matahari kerana dipercayai bahawa firaun ialah anak Tuhan Matahari,iaitu Amon-Re.Firaun juga merupakan ketua pendeta,pemilik tanah,ketua hakim, dan ketua pahlawan.Selepas firaun ialah golongan bangsawan,rahib,tuan tanah serta jurutulis. Ini diikuti dengan golongan rakyat bebas yang terdiri daripada petani, pedagang dan artisan.Lapisan yang terkebawah ialah hamba.

     Sistem pemerintahan Mesir Purba diterajui oleh raja,iaitu firaun.Beliau dibantu oleh golongan bangsawan untuk menjalankan pentadbiran,menjaga keamanan,mengurus,dan mengagihkan penghasilan makanan di dalam negara.Golongan bangsawan ini merupakan pembesar yang terdiri daripada pegawai,penasihat,dan juga gabenor yang mentadbir wilayah yang ditakluki.Para rahib dipertanggungjawabkan untuk mentadbir hal keagamaan.Urusan pentadbiran ini juga turut dibantu oleh jurutulis yang terdiri daripada orang awam yang telah dilantik untuk menulis segala rekod kerajaan.
     Tamadun Mesir Purba juga telah mengikhtirafkan wanita sebagai pemimpin.Pada Zaman Empayar seorang wanita telah dilantik menjadi firaun, iaitu Firaun Hatsheput (1501-1479 S.M.).Era pemerintahannya penuh dengan pembaharuan seperti pembinaan terusan dan penukaran padang pasir kepada tanah pertanian yang subur.Keupayaan beliau membawa perubahan ini telah meletakkan beliau setanding dengan pencapaian firaun yang lain.Ini menunjukkan bahawa wanita dalam tamadun Mesir Purba mampu memerintah serta memiliki status yang tinggi.Kerajaan Mesir Purba juga merupakan kerajaan berbentuk empayar yang meliputi sebuah kawasan yang luas termasuklah wilayah di Nubia di selatan Mesir hingga ke utara serta barat dan juga wilayah di sebelah Asia,iaitu wilayah di Palestin hingga ke Lubnan dan Syria.
     Perkembangan aktiviti ekonomi turut mempengaruhi perkembangan tamadun awal Mesir Purba.Dengan wujudnya pengkhususan kerja seperti penenunan dan pembuatan barang tembikar dan juga peralatan,Mesir Purba telah berkembang maju.Eksport utama Mesir Purba ialah teksil dan kertas.Antara aktiviti ekonomi lain yang dijalankan termasuklah perlombongan emas di kawasan Nubia.Pengangkutan di air memainkan peranan penting dalam tamadun Mesir Purba.Sungai Nil yang lebar dan dalam telah membolehkan kapal-kapal menyusurinya dan berlabuh di pelabuhan-pelabuhan seperti Thebes,Memphis,Fayoum dan Heliopolis.Sistem pemerintahan yang terancang telah berjaya menarik pedagang-pedagang dari Laut Mediterranean dan Laut Merah untuk singgah di pelabuhan Mesir Purba.
      Orang Mesir Puba percaya kepada konsep politeisme.Setiap tuhan orang Mesir Purba selalu dikaitkan dengan unsur alam seperti Re ( Tuhan Matahari ),Ra-Atum ( Tuhan Langit ) dan Amun ( Tuhan Angin ).Orang Mesir Purba juga percaya kepada kehidupan selepas mati.Oleh itu,mayat perlu disimpan dan dijaga dengan teliti.Makam mayat juga mesti dipenuhi dengan peralatan serta keperluan kehidupan selepas mati.Mayat tersebut diiringi barangan serta kelengkapan harian yang akan ditanam bersama-sama dengannya.Solekan mayat,alat kebesaran,dan jumlah barang yang dikebumikan di dalam makam menunjukkan kedudukan atau status mayat tersebut.
     Tamadun Mesir Purba juga telah mempunyai sistem tulisan yang dikenali sebagai hieroglif.Sistem tulisan tamadun Mesir Purba ini berasaskan kombinasi gambar dan simbol yang berdasarkan bunyi.Sistem tulisan sangat penting dalam proses perkembangan tamadun Mesir Purba terutamanya untuk tujuan mencatatkan rekod aktiviti pertanian dan juga pengutipan cukai.Tulisan juga memainkan peranan penting dalam tamadun Mesir Purba untuk tujuan keagamaan dan amalan ritual kepercayaan.

No comments:

Post a Comment